Wednesday 6 November 2013

Salam Tahun Baru 1435 Hijrah

Assalamualaikum...

Masih belum terlambat untuk saya ucapkan Salam Maal Hijrah 1435. Alhamdulillah saya berasa sungguh bersyukur kerana masih merasa nikmat hidup di dunia ini dan melangkah ke tahun yang seterusnya. Sebagai seorang muslim, kita harus tahu dan dalami erti penghijrahan dalam kehidupan. Setiap orang Islam mestilah memahami dan menghayati erti Hijrah yang sebenar. 


Secara bahasa, hijrah bererti berpindah tempat. Adapun secara syar‘i, para fukaha mendefinisikan hijrah sebagai: keluar dari darul kufur menuju Darul Islam. (An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, II/276).


 Selain makna hijrah di atas, setiap manusia itu sendiri harus ada erti hijrah dalam diri mereka sendiri termasuklah saya sendiri. Pada pandangan saya, Hijrah itu bererti perubahan. Perubahan disini bermaksud perubahan dari segi tingkah laku, pemikiran, sikap dan pertuturan daripada negatif kepada positif. Perubahan yang saya maksudkan adalah penghijrahan seseorang kepada yang lebih baik. 


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.”
(al-Bukhari)


Saya sendiri pun mempunyai azam dalam diri ini untuk berhijrah ke arah yang lebih baik daripada keadaan sekarang. Saya sedar yang saya memang terlalu banyak melakukan dosa. Melakukan dosa itu memang menyeronokkan tapi disebalik dosa itu hukuman yang bakal diterima itu sedang menanti selagi mana kita tidak bertaubat.


Kalau kita dah terbiasa melakukan dosa, untuk berubah dan stop buat dosa itu memang saaaaangat susah. Ianya memerlukan ketabahan hati yang begitu kuat. Kadang-kadang kita boleh tahan diri dari melakukan dosa. Tapi kita hanya manusia biasa yang mempunyai banyak kekurangan yang akhirnya  kalah.


Jauh di sudut hati saya yang terdalam, selalu mengharapkan dan membayangkan saya yang lebih baik. Setiap hari saya berdoa agar saya diberikan kekuatan dan ketabahan serta hidayah dari Allah untuk saya hijrah sepenuhnya ke arah kebaikan.






Terima Kasih ^_^